Thursday, May 26, 2011

Lim Jooi Soon Selesa Guna Nama Asal


Lim Jooi Soon selesa guna nama asal - Oleh: MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK

MENUKAR nama bapa kepada Abdullah sudah lama diamalkan di Malaysia.Namun, ia tidak pernah diamalkan ketika zaman Rasullullah s.a.w.

Contohnya Rasulullah tidak mengubah nama bapa Abdullah bin Abd. Asad biarpun Abd. Asad membawa makna hamba kepada singa, iaitu jelas mengandungi unsur-unsur syirik (Ibni Al-Jawzee, Sifatus Safwah, Jilid 1 (63). Malah Umar Al-Khattab dan Ali bin Abu Talib juga mengekalkan nama bapa masing-masing setelah memeluk Islam.

Jika wajib menukar nama bapa, apakah Rasullullah sendiri tidak mengetahuinya dan melakukannya? Pegawai Dakwah Persatuan Cina Islam Malaysia (MACMA) Cawangan Selangor, Lim Jooi Soon berkata, ramai masyarakat di Malaysia beranggapan bahawa nama Islam adalah nama dalam bahasa Arab.

Pada zaman Rasullullah, mereka yang memeluk agama Islam dinasihati oleh Rasulullah supaya menukar nama asal kepada nama yang bermaksud baik. Ini menunjukkan nama Islam adalah nama yang mempunyai makna yang baik, bukan semestinya dalam bahasa Arab.

Katanya, menjadi amalan bahawa orang yang masuk Islam di negara ini akan disuruh menukar nama kepada nama bahasa Arab dengan anggapan bahawa nama Islam adalah nama di dalam bahasa Arab.

Persoalannya, bagaimana dengan masyarakat Melayu yang tidak mempunyai nama dalam bahasa Arab, adakah mereka perlu menukar nama atau sebaliknya?

“Sebenarnya, pada zaman Rasullullah, ramai sahabat apabila masuk Islam mengekalkan nama asal mereka walaupun bukan di dalam bahasa Arab. Antaranya; Salman Al-Farisy dari Persia dan Bilal Ar-Rabah dari Ethopia" katanya ketika ditemui MEGA, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, kata Jooi Soon, tiada nas untuk membenarkan penukaran nama bapa kandung kepada Abdullah atau nama-nama lain. “Dalam kes ini saya bersetuju 100 peratus dengan fatwa Majlis Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan pertukaran nama bapa kandung.

Sebagai seorang Islam, apabila kita ditunjukkan sesuatu nas atau bukti larangan atau perintah, kita hendaklah mematuhi arahan tersebut seperti mana dalam ayat 17 dan 18 dari Surah al-Zumar" jelasnya.

Tambah Jooi Soon, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika terdapat pihak-pihak yang masih mengekalkan pendapat dan tradisi walaupun dikemukakan dengan bukti yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Golongan begini disebut di dalam al-Quran, "Sesungguhnya kami mendapati datuk nenek kami menurut satu agama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja dan demikianlah halnya (orang-orang yang taklid buta) kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata, sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja. Rasul itu berkata, adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu agama yang lebih nyata memberi petunjuk daripada apa yang kamu dapati datuk nenekmu menganutnya? Mereka menjawab: Sesungguhnya kami mengingkari agama yang kamu di utus untuk menyampaikannya. "(al-Zukhruf: 22-24)

Kata Jooi Soon, sebagai Muslim berbangsa Cina, mengekalkan nama penuh dalam bahasa ibunda adalah perkara yang penting bagi sebahagian masyarakat Cina.Ini kerana setiap perkataan pada nama tersebut membawa maksud dan pengertian tertentu.

“Sebagai contoh, walaupun saya hampir sepuluh tahun memeluk agama Islam, saya masih mengekalkan nama Lim Jooi Soon kerana maksud di sebalik nama itu membawa pengertian yang indah dan terpuji dalam masyarakat dan budaya Cina serta tidak melanggar syariat.

Lim adalah nama keluarga, Jooi adalah nama keturunan dan Soon adalah nama diri saya. Bayangkan apabila ada sebahagian daripada masyarakat Cina yang ingin memeluk agama Islam terpaksa membuang nama keturunan dan nama dirinya ini seolah-olah memutuskan pertalian dari nasab keturunan yang sama" tambahnya.

Menurut Jooi Soon, sebenarnya ramai masyarakat Cina membatalkan hasrat memeluk Islam kerana takut apabila diberitahu nama keturunan dan nama diri perlu dibuang selepas pengIslaman.

“Dari segi dakwah pula, jika mereka mengekalkan nama dalam bahasa Cina, tanggapan masyarakat bukan Islam bahawa memeluk agama Islam itu bermakna ‘masuk’ Melayu dapat dihakis sekaligus menunjukkan Islam adalah agama universal", katanya .

Mengenai kesukaran mengenalpasti status mualaf Islam jika tidak dibinkan Abdullah, Jooi Soon berkata, hal itu tidak perlu dikhuatirkan.

“Perkara ini bukan masalah kerana penyelesaiannya terbukti pada status agama Islam yang tertera dalam kad pengenalan (MyKad) dan juga kad yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Persekutuan dan Negeri” jelasnya.

Apa yang lebih penting katanya ialah pengamalan segala suruhan dan meninggalkan larangannya berbanding dari segi nama dan pakaian mereka.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi di talian 012-3661121 atau e-mail abdlim@gmail.com

Fakta tentang menukar nama mualaf Terdapat dua pendapat mengenai pertukaran nama kepada ‘bin’ Abdullah atau ‘binti’ Abdullah apabila seseorang memeluk agama Islam:

Pertama: Mengikut al-Quran dan sunnah.

Kedua: Mengikut budaya Malaysia

Menukar nama kepada bin atau binti’ Abdullah bukan ajaran Islam tetapi ia lebih menitik kepada Budaya Malaysia.

Ia tidak pernah diamalkan pada zaman Rasullullah s.a.w.

Agama Islam boleh menerima apa jua amalan dan budaya mana-mana bangsa selagi ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Nas menukar nama bapa itu tidak dibenarkan dalam Islam.

"Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber’bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah s.w.t. "(Al-Ahzab: 5).

Sesiapa yang secara sedar mengubah nama bapanya kepada nama yang lain terkeluar dari syurga. (Riwayat Bukhari 8:578, Muslim 1:120 Daud 3:5094)

Sesiapa yang secara sengaja membiarkan dirinya dipanggil sebagai anak kepada yang bukan bapanya adalah kufur. (Riwayat Bukhari 4:467, Muslim 1;118, Daud 3:5095).

Beberapa pilihan mualaf berkaitan nama.

*Mengekalkan nama asal sepenuhnya (Lim Jooi Soon) kerana ia penting dan melambangkan dan mengekalkan nama generasi dan nama diri mereka.

*Meletakkan ‘bin’ di hujung nama – walaupun bukan budaya orang Cina tetapi jika ingin meletakkan ‘bin’ tidak menjadi masalah asalkan nama tersebut ber ‘bin’ kan bapa kandung dan bukan nama lain seperti Abdullah contohnya Lim Jooi Soon Bin Lim Hong Nam.

*Memilih nama Arab yang mempunyai makna yang baik sambil mengekalkan nama asal sepenuhnya (Abdul Rahman Lim Jooi Soon).

Namun, ini bukan kemestian.

Berbeza dengan budaya orang India yang memang meletakkan ‘anak lelaki’ ataupun ‘bin’. Ia boleh dikekalkan dengan syarat ber‘bin’kan bapa kandung sendiri contohnya Shah Kirit Bin Kalkulai Govindji.

Hikmah di sebalik larangan menukar nama bapa.

*Untuk mengelakkan daripada berlakunya perkahwinan di antara ahli keluarga yang diharamkan berkahwin akibat tidak tahu tentang asal-usul keluarga.

*Untuk menunjukkan bahawa orang yang masuk Islam itu masih mengekalkan perhubungan anak dan bapa seperti biasa dan bahawa Islam itu tidak sekali-kali memutuskan pertalian di antara kaum keluarga.

Sumber: Utusan Malaysia 12 April 2007

Sumber : Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) Selangor


No comments:

briefly introducing...

My photo
Subang Jaya
Everything written here are from my experience & personal opinions. Thank you for reading.